|
SEKOLAH MENENGAH SAINS SELANGOR TUAN RUMAH KEJOHANAN HOKI BAWAH 16 TAHUN BERASRAMA PENUH PERINGKAT KEBANGSAAN 2009 Kuala Lumpur, 27 Jun – Kejohanan Hoki Bawah 16 Tahun Sekolah Berasrama Penuh adalah bertujuan untuk mencungkil bakat baru dalam bidang hoki untuk diketengahkan sebagai pelapis pasukan hoki Negara. Itulah harapan yang dilahirkan oleh Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Datuk Wira Syed Ali Alhabshee dalam ucapan perasmian Kejohanan Hoki Bawah 16 Tahun Berasrama Penuh Peringkat Kebangsaan. Majlis perasmian diadakan pada 26 Jun 2009 di SM Sains Selangor dengan dihadiri oleh semua kontinjen yang mengambil bahagian. Beliau menegaskan bahawa walaupun matlamat penjuangan untuk menang perlu diterapkan, namun semangat berpasukan yang benar-benar jitu dan padu banyak membantu mencapai kejayaan dan impian. Tugas dan tanggungjawab ‘team player’ sangat penting, menang atau kalah sesebuah pasukan adalah bergantung kepada peranan yang dimainkan setiap individu dalam kumpulan.
Pada majlis tersebut juga, beliau mengingatkan kepada setiap pemain agar menerapkan semangat kesukanan yang tinggi dan menanam sifat positif. Elakkan sikap mudah kecewa dan putus asa dalam setiap perlawanan. Mengakhiri ucapan, beliau merakamkan ucapan penghargaan dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat dalam menganjurkan majlis yang penuh gilang gemilang ini. .jpg)
.jpg)
WAJIB LULUS BAHASA INGGERIS DI PERINGKAT SPM Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) ucapkan syabas dan tahniah kepada Kementerian Pelajaran Malaysia kerana memberi ruang kepada semua pihak untuk memberikan pandangan mengenai isu mewajibkan calon lulus matapelajaran Bahasa Inggeris sebagai syarat lulus peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Bahasa Inggeris berkembang begitu pesat dan menjadi bahasa paling berpengaruh pada zaman moden serta digunakan sebagai bahasa rasmi dan separuh rasmi di 60 buah negara. Bahasa Inggeris menjadi wahana perhubungan antarabangsa dalam hubungan diplomatik, urusan perniagaan, seminar atau persidangan dan sebagainya. Anggaran kasar jumlah penutur bahasa Inggeris di seluruh dunia ialah antara 700 juta hingga satu billion orang. Jumlah ini akan terus melonjak dengan mengambil kira penekanan yang diberikan oleh negara China terhadap Bahasa Inggeris, yang mana negara China mempunyai paling banyak penduduk di muka bumi iaitu 1.3 bilion orang. Biarpun Kementerian Pelajaran memberi penekanan kepada subjek Bahasa Inggeris, ianya tidak harus dilihat dari sudut ‘negatif’ tetapi perlu dilihat sebagai satu nilai tambah untuk menjadikan bangsa Malaysia lebih berdaya saing, lebih berilmu dan mudah untuk memasuki pasaran pekerjaan sama ada di dalam negara atau di luar negara. Bahasa Malaysia masih kekal sebagai bahasa rasmi negara dan usaha untuk memartabatkan Bahasa Malaysia mestilah konsisten dan tidak boleh dilihat ‘terkebelakang’ daripada Bahasa Inggeris. Inilah perkara yang kadang-kadang kurang difahami ataupun kurang jelas bagi sesetengah pihak. Untuk langkah jangka panjang, Yayasan Pendidikan Cheras bersetuju dengan lontaran idea Y.A.B. Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, Menteri Pelajaran Malaysia merangkap Timbalan Perdana Menteri mengenai isu mewajibkan pelajar lulus Bahasa Inggeris sebagai pra syarat untuk lulus SPM. Walaubagaimanapun, untuk berlaku adil kepada pelajar luar bandar, Kementerian Pelajaran janganlah terlalu radikal dan ‘tergesa-gesa’ untuk melaksanakan dasar tersebut. Kementerian Pelajaran perlu rapatkan dahulu jurang prasarana pendidikan , ICT dan yang berkaitan dengannya antara sekolah di bandar dan luar bandar, atasi masalah kekurangan guru yang mahir mengajar Bahasa Inggeris di luar bandar, mantapkan lagi kaedah P&P Bahasa Inggeris supaya lebih menarik, mudah, seronok untuk dipelajari oleh murid dan juga diajar oleh guru. Apabila semua perkara di atas telah dapat dipenuhi maka mudahlah rakyat di segenap lapisan masyarakat memahami, meyakini dan menerima dengan hati yang terbuka terhadap dasar yang ingin dilaksanakan oleh Kementerian Pelajaran bak kata pepatah ‘siapkan payung sebelum hujan’ serta elakkan masalah yang bakal timbul umpama pepatah ‘rumah dah siap, pahat masih berbunyi’. PERUTUSAN HARI GURU TAHUN 2009 DARIPADA PENGERUSI YAYASAN PENDIDIKAN CHERAS SYUKUR kepada Allah Subhanahu Wataala sekali lagi kita dapat bersama dalam usaha mengukuhkan tekad untuk terus menjana tanggungjawab demi kepentingan anak bangsa. Bersempena Hari Guru yang disambut pada setiap 16 Mei, saya amat berbangga kerana warga pendidik terus dihargai sebagai mengenang jasa dan pengorbanan yang tiada ternilai. Pemilihan tema Sambutan Hari Guru untuk tahun 2009 ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ merupakan satu pengiktirafan yang berterusan kepada profesion perguruan. Sesungguhnya kasih sayang warga pendidik yang dipupuk di sekolah-sekolah merupakan tunas yang akan melahirkan generasi berilmu, yang bakal membentuk tamadun bangsa. Selaku Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), saya yakin warga pendidik khususnya dalam lingkungan 36 sekolah-sekolah angkat akan menjadikan sambutan Hari Guru pada tahun ini sebagai pencetus semangat untuk meningkatkan lagi profesion perguruan. Jadikanlah tahun ini sebagai tahun yang menjanjikan seribu kejayaan walaupun adakalanya para guru terpaksa mengharungi cabaran berliku dan dugaan getir dalam usaha menyalurkan perkhidmatan yang terbaik. Saya sentiasa menaruh keyakinan kepada warga pendidik sebagai golongan yang amat dihargai, disayangi dan dihormati setiap masa kerana sentuhan merekalah yang menjadikan anak bangsa kita sebagai warganegara yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Justeru itulah, YPC sentiasa komited kepada pelan pembangunan pendidikan khususnya di sekolah-sekolah di dalam kawasan Parlimen Cheras dengan harapan hubungan dua hala yang sekian lama terjalin akan berterusan menjadi pemangkin kepada pembangunan sumber manusia. Yayasan Pendidikan Cheras menyalurkan sumbangan kepada setiap Sekolah Angkat (YPC) untuk meraikan Hari Guru 2009 sebanyak RM500.00 hingga RM1,000.00 bergantung kepada bilangan guru di sesebuah sekolah. YPC juga menghadiahkan kek Hari Guru kepada semua Sekolah Angkat YPC. Yayasan Pendidikan Cheras akan terus menyalurkan bantuan kepada sekolah-sekolah angkat YPC daripada semasa ke semasa untuk berbagai-bagai aktiviti dan program selaras dengan hasrat dan misi YPC untuk melahirkan sebuah masyarakat yang berilmu, berketrampilan dan berdaya saing. Sempena Hari Guru, marilah kita perkuatkan tekad semangat dan iltizam untuk menjadi warga pendidik yang sentiasa maju dari hari ke hari. Selamat Hari Guru! DATUK WIRA SYED ALI ALHABSHEE
SM SAINS ALAM SHAH KUALA LUMPUR CATAT SEJARAH TINGKAT PRESTASI STRAIGHT ‘A’ SPM 2008 Cheras, 28 April – SM Sains Alam Shah dengan kerjasama Persatuan Ibu Bapa & Guru telah menganjurkan Majlis Makan Malam Amal & Anugerah Cemerlang SPM 2008 kali ke-6, bertempat di Dataran ASiS, SM Sains Alam Shah, Kuala Lumpur. Majlis yang diadakan sejak tahun 2004 ini bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pelajar-pelajar yang cemerlang dalam peperiksaan SPM 2008 di samping mengumpul dana bagi mengisi tabung Persatuan Ibu Bapa & Guru (PIBG). Dana yang terkumpul akan digunakan untuk melengkapkan prasarana sekolah, membantu pelajar-pelajar miskin dan menganjurkan program-program kecemerlangan akademik. .jpg) Majlis perasmian dan penyampaian anugerah cemerlang telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Hajah Noor Rezan Bapoo Hashim, Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran, Bahagian Operasi Pendidikan, Kementerian Pelajaran Malaysia. Hajah Noor Rezan di dalam ucapannya berkata, kejayaan SM Sains Alam Shah amat membanggakan apabila kebanyakan daripada pelajarnya telah berjaya melanjutkan pelajaran ke universiti-universiti ternama di luar negara. Beliau juga berharap PIBG dan para ibu bapa akan terus memberikan sokongan kepada sekolah kerana tanggungjawab melahirkan pelajar yang cemerlang bukan sahaja terletak di bahu pihak sekolah. .jpg) Terdahulu Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) telah menyumbang dana sebanyak RM26,800.00 kepada pihak sekolah bagi menjayakan majlis tersebut. Seramai 17 pelajar yang mencapai keputusan ‘Straight 1A’ dalam SPM 2008 menerima hadiah wang tunai sebanyak RM300.00, pen dan sijil, manakala seramai 95 pelajar yang mencapai ‘Straight A’ menerima hadiah wang tunai sebanyak RM150.00, pen dan sijil. Yayasan Pendidikan Cheras juga menyumbang sebanyak RM5,000.00 atas kejayaan SM Sains Alam Shah mendapat tempat pertama dalam peperiksaan SPM 2008 di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan tempat ke-3 kebangsaan manakala RM5,000.00 lagi bagi Kelab Guru sebagai menghargai sumbangan guru-guru dalam melahirkan pelajar-pelajar yang cemerlang. Majlis Makan Malam Amal & Anugerah Cemerlang ini juga diserikan dengan persembahan nasyid, zapin, nyanyian solo dan dikir barat oleh pelajar-pelajar ASiS. Kemuncak daripada persembahan malam tersebut adalah dengan kehadiran penyanyi Ezlynn yang memukau hadirin pada malam tersebut dengan nyanyian dua buah lagu popular beliau. Sesungguhnya, Majlis Makan Malam Amal & Anugerah Cemerlang 2008 ini banyak meninggalkan nostalgia abadi kepada semua pelajar dan hadirin yang hadir pada malam tersebut.  KOLEJ TEKNOLOGI YPC-iTWEB TAMBAH JURUSAN MANTAPKAN KUALITI SISTEM PENDIDIKAN Kuala Lumpur, 19 April - Kolej Teknologi YPC-iTWEB telah mengadakan konvokesyen kali ke-5 yang berlangsung di Hotel Legend baru-baru ini dengan meraikan seramai 140 graduan di majlis yang penuh gilang gemilang. Majlis konvokesyen disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Y.B Dato’ Saifudin Abdullah dan turut dihadiri oleh Pengerusi Kolej YPC-iTWEB Y.B Senator Datuk Wira Syed Ali AlHabshee, Y.Bhg. Dato’ Seri Yahya A. Jalil, Ahli Lembaga Yayasan Pendidikan Cheras, Dr. Noel Robert, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Teknologi YPC-iTWEB, Y.Bhg Major (B) Van Weng Hong dari Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan para ibu bapa. .jpg)
Pada majlis tersebut, Pengerusi Kolej YPC di dalam ucapan aluannya berkata Kolej Teknologi YPC mempunyai pelbagai jurusan yang mendapat pengiktirafan daripada MQA. Kolej YPC telah menambah program-program baru contohnya di dalam bulan Mac yang lalu, Kolej YPC telah menandatangani MOU dengan Liverpool John Moores University dengan menawarkan dua lagi program ijazah iaitu Bachelor Honours Information Technology and Multimedia dan Bachelor Honours Animation and Visualisation. Program-program ini akan dilaksanakan sebaik sahaja Kolej mendapat kelulusan daripada pihak MQA dan juga Kementerian Pengajian Tinggi. .jpg) Beliau juga memaklumkan bahawa Kolej YPC akan memulakan pembinaan kampus baru di No. 30, Jalan Jejaka, Taman Maluri Cheras pada bulan Julai 2009. Kampus ini bakal mempunyai 5 tingkat dengan keluasan 120,000 kaki persegi dan boleh menampung seramai 3000 pelajar dan pelan pembinaan Kolej YPC telah dihantar ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Sementara itu, Dato’ Saifudin di dalam ucaptamanya berkata penganugerahan diploma pada hari graduasi adalah simbolik kepada pencapaian seseorang di mana mereka adalah individu yang lebih berpengetahuan, berkeyakinan, bertoleransi, berdaya saing dan beretika. Oleh yang demikian, generasi muda haruslah sedar bahawa mereka merupakan pewaris dan harapan kepada kemajuan dan pembangunan negara serta bertanggungjawab dalam melahirkan masyarakat yang produktif, berintelektual dan beriltizam tinggi.
Harapan beliau kepada graduan muda yang bakal memasuki dunia pekerjaan supaya bersedia untuk bekerja keras, penuh daya inisiatif dan sentiasa melihat peluang-peluang yang terbuka di depan mata untuk meneroka potensi diri. Pesanan beliau sebelum mengakhiri ucapan ialah rakyat yang baik haruslah tahu untuk menyumbang semula kepada masyarakat dengan menjadi rakyat yang bertanggungjawab, tahu membezakan perkara baik dan buruk dengan pertimbangan yang bijaksana. Selain itu mereka haruslah berkeyakinan untuk bersuara dan bertindak untuk kebaikan, bertoleransi menerima kepercayaan anggota masyarakat yang lain, serta paling penting mempamerkan tingkah laku yang baik dan mengambil berat tentang masyarakat yang kurang berupaya. .jpg) Pengerusi YPC menyampaikan cenderahati tanda terima kasih kepada Dato' Saifudin Abdullah, Timbalan Menteri Pengajian Tinggi SEKOLAH ANGKAT YPC CATAT PENINGKATAN STRAIGHT ‘A’ SPM 2008 Cheras, 24 Mac – Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) menganjurkan Majlis Anugerah Pelajar Cemerlang SPM 2008 kali ke-8, bertempat di Pusat Rekreasi Cheras, Jalan Peel, Kuala Lumpur. Majlis yang diadakan sejak tahun 2001 ini bertujuan memberi pengiktirafan dan penghargaan kepada pelajar-pelajar yang mencapai keputusan ‘A’ dalam semua subjek di samping menjadikan contoh atau ‘role model’ kepada pelajar-pelajar lain supaya mencapai kecemerlangan dalam bidang pelajaran. .jpg)
Hadir menyempurnakan perasmian dan seterusnya menyampaikan anugerah ialah Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia, Y.Bhg. Dato’ Alimuddin Mohd. Dom. Turut hadir ialah Pengerusi YPC, Y.B Senator Datuk Wira Syed Ali AlHabshee. Dato’ Alimuddin semasa bercakap kepada pemberita dalam sidang media berkata, YPC berjaya menjadikan matlamat penubuhannya sebagai perangsang kepada peningkatan prestasi akademik pelajar di bawah naungannya melalui program Sekolah Angkat. Perkara ini menurutnya menjadi faktor kepada keberkesanan melahirkan modal insan yang terbaik untuk negara. .jpg)
Seramai 79 pelajar yang mencapai keputusan ‘Straight A’ dalam SPM 2008 menerima hadiah wang tunai sebanyak RM300.00, 2 buku motivasi dan sijil penghargaan sebagai insentif kepada pelajar cemerlang. Sementara itu, seorang pelajar cemerlang kategori OKU turut dinobatkan di dalam majlis yang sama. Pada majlis tersebut, YPC juga memberi penganugerahan kepada empat (4) sekolah daripada Sekolah-Sekolah Angkat YPC terpilih untuk menerima anugerah berdasarkan peratusan pelajar yang mencapai keputusan ‘A’ dalam semua subjek. Anugerah disampaikan melalui dua kategori. Kategori Sekolah Kawalan yang menyandang tempat pertama iaitu SMK Seri Bintang Selatan (12.26 peratus) menerima RM1,000.00 dan sijil penghargaan sementara SMK Seri Bintang Utara (10.59 peratus) jatuh ke tangga kedua dengan menerima RM750.00 serta sijil penghargaan. Bagi Kategori Sekolah Harian Biasa, SMK (P) Pudu membolot tempat pertama dengan 2.43 peratus dan menerima RM1,000.00 serta sijil penghargaan dan SMK Puterijaya memperolehi 2.24 peratus dan menerima RM750.00 beserta sijil penghargaan. .jpg)  
SEKOLAH ISTIMEWA DAPAT PERUNTUKAN SAMA RATA Kuala Lumpur, 4 Mac- Kementerian Pelajaran Malaysia baru-baru ini telah menyumbangkan sebuah bas dan van sekolah kepada Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Jalan Batu bagi membantu keperluan pengangkutan warga pentadbir dan pelajar-pelajar istimewa sekolah tersebut. Bagi mengucapkan syukur di atas sumbangan oleh Kementerian, pihak sekolah telah mengadakan majlis perasmian sumbangan bas dan van sekolah yang disempurnakan oleh Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras, Y.B Senator Datuk Wira Syed Ali AlHabshee. Guru Besar, Encik Ahmad Baki Bin Musli ketika ucapan aluannya berkata, pihak sekolah amat bersyukur dan berbesar hati dengan sumbangan yang diterima oleh Kementerian Pelajaran di mana Kerajaan sangat prihatin dengan keperluan pendidikan dan semua sekolah diberi perhatian secara sama rata, tambahan pula murid-murid sekolah beliau hanyalah mempunyai seramai 25 orang murid dan 18 orang guru. Tambah beliau dengan adanya bas dan van sekolah, ini akan memberi ruang kepada pelajar-pelajar istimewa meningkatkan prestasi diri dalam bidang akademik dan pihak sekolah merancang untuk mengadakan beberapa sesi lawatan sambil belajar dengan memanfaatkan kemudahan yang diterima. .jpg) Sementara itu Pengerusi YPC semasa berucap pada majlis perasmian berkata, SK Pendidikan Khas (Cacat Penglihatan) Jalan Batu walaupun mempunyai jumlah murid yang kecil, tetap memerlukan sokongan moral dan bantuan kewangan daripada pihak ibu bapa terutamanya yang berada. Ini untuk memudahkan pihak sekolah dan PIBG mengadakan program ilmiah kerana dana sekolah buat masa ini adalah tidak mencukupi. Beliau berpendapat bahawa sumbangan Kementerian Pelajaran kepada sekolah menunjukkan keprihatinan tinggi Kerajaan kepada institusi pendidikan dalam memperkasakan warganegaranya melalui modal insan. .jpg) Pada majlis tersebut juga beliau mengumumkan sumbangan Yayasan Pendidikan Cheras sebanyak RM50 untuk setiap murid berjumlah RM1250.00 yang akan disalurkan ke dalam akaun PIBG sekolah bagi kegunaan aktiviti murid. Sementara itu sebanyak RM1000.00 akan disumbangkan kepada Kelab Guru dan RM1000.00 lagi untuk PIBG sekolah. .jpg) |