Sejarah Penubuhan Yayasan Pendidikan Cheras (YPC)
Program Sekolah Angkat pada mulanya diasaskan oleh UMNO Bahagian Cheras. Program ini bermula seawal tahun 1994 ketika Senator Datuk Wira Syed Ali Al Habshee menjadi Ketua Pemuda (Penaja) UMNO Bahagian Cheras. Ketika itu, Sekolah Pendidikan Khas Jalan Peel menjadi sekolah pertama Sekolah Angkat UMNO Bahagian Cheras.
Pada tahun 1998 apabila Senator Datuk Wira Syed Ali Al Habshee dipilih menjadi Ketua UMNO Bahagian Cheras, bilangan sekolah angkat mula bertambah setelah melihat perlembangan dan sokongan yang begitu menggalakkan dari pelbagai pihak.
Pada ketika itu, lokasi sekolah-sekolah angkat boleh dikatakan terletak berhampiran dengan Pejabat UMNO Bahagian Cheras yang beroperasi di Pusat Rekreasi Cheras, Jalan Peel, Kuala Lumpur.
Walaubagaimanapun, hari ini sekolah angkat tidak lagi bergantung kepada kedudukan yang berhampiran dengan Pejabat UMNO Bahagian Cheras di Jalan Peel malah telah berkembang ke seluruh kawasan Cheras dan juga beberapa buah di luar Cheras di Wilayah Persekutuan selaras dengan usaha menjana kecemerlangan dalam dunia pendidikan.

Hampir lebih dua tahun Program Sekolah Angkat ini dikelola oleh UMNO Bahagian Cheras sehinggalah 18 September 2000 bilamana Yayasan Pendidikan Cheras telah diluluskan pendaftarannya. Mulai dari tarikh itu dan seterusnya Program Sekolah Angkat akan dikendalikan di bawah pentadbiran dan pengurusan Yayasan.
Tanggal 23 Ogos 2001 mencatatkan satu detik bersejarah buat Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) bilamana Tun Dr. Mahathir Mohamad merasmikan pelancaran Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di Stadium Badminton Kuala Lumpur, Cheras. Detik bersejarah tersebut disaksikan oleh lebih 5,000 orang tetamu jemputan yang merangkumi guru-guru sekolah, para pelajar, ibu bapa, pemimpin-pemimpin parti & kerajaan.
Kini, YPC sudah menjangkau usia hampir lapan tahun. Jumlah sekolah angkat yang dahulunya 19 buah sekolah (pada tahun 2001) kini telah bertambah kepada 36 buah sekolah (sehingga 2008) yang terdiri daripada 12 buah sekolah menengah, 22 sekolah rendah dan 2 pra-sekolah. Semua sekolah rendah dan menengah di dalam lingkungan Parlimen Cheras telah pun bernaung di bawah YPC. Apa yang membanggakan program Sekolah Angkat YPC tidak dibatasi oleh sempadan kawasan parlimen. 9 buah sekolah yang berada di luar Parlimen Cheras juga turut bernaung di bawah YPC.