| PERUTUSAN HARI GURU TAHUN 2009 |
|
|
| Friday, 15 May 2009 | |
|
SYUKUR kepada Allah Subhanahu Wataala sekali lagi kita dapat bersama dalam usaha mengukuhkan tekad untuk terus menjana tanggungjawab demi kepentingan anak bangsa. Bersempena Hari Guru yang disambut pada setiap 16 Mei, saya amat berbangga kerana warga pendidik terus dihargai sebagai mengenang jasa dan pengorbanan yang tiada ternilai. Pemilihan tema Sambutan Hari Guru untuk tahun 2009 ‘Guru Pembina Negara Bangsa’ merupakan satu pengiktirafan yang berterusan kepada profesion perguruan. Sesungguhnya kasih sayang warga pendidik yang dipupuk di sekolah-sekolah merupakan tunas yang akan melahirkan generasi berilmu, yang bakal membentuk tamadun bangsa. Selaku Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC), saya yakin warga pendidik khususnya dalam lingkungan 36 sekolah-sekolah angkat akan menjadikan sambutan Hari Guru pada tahun ini sebagai pencetus semangat untuk meningkatkan lagi profesion perguruan. Jadikanlah tahun ini sebagai tahun yang menjanjikan seribu kejayaan walaupun adakalanya para guru terpaksa mengharungi cabaran berliku dan dugaan getir dalam usaha menyalurkan perkhidmatan yang terbaik. Saya sentiasa menaruh keyakinan kepada warga pendidik sebagai golongan yang amat dihargai, disayangi dan dihormati setiap masa kerana sentuhan merekalah yang menjadikan anak bangsa kita sebagai warganegara yang berguna untuk agama, bangsa dan negara. Justeru itulah, YPC sentiasa komited kepada pelan pembangunan pendidikan khususnya di sekolah-sekolah di dalam kawasan Parlimen Cheras dengan harapan hubungan dua hala yang sekian lama terjalin akan berterusan menjadi pemangkin kepada pembangunan sumber manusia. Yayasan Pendidikan Cheras menyalurkan sumbangan kepada setiap Sekolah Angkat (YPC) untuk meraikan Hari Guru 2009 sebanyak RM500.00 hingga RM1,000.00 bergantung kepada bilangan guru di sesebuah sekolah. YPC juga menghadiahkan kek Hari Guru kepada semua Sekolah Angkat YPC. Yayasan Pendidikan Cheras akan terus menyalurkan bantuan kepada sekolah-sekolah angkat YPC daripada semasa ke semasa untuk berbagai-bagai aktiviti dan program selaras dengan hasrat dan misi YPC untuk melahirkan sebuah masyarakat yang berilmu, berketrampilan dan berdaya saing. Sempena Hari Guru, marilah kita perkuatkan tekad semangat dan iltizam untuk menjadi warga pendidik yang sentiasa maju dari hari ke hari. Selamat Hari Guru! DATUK WIRA SYED ALI ALHABSHEE |
|
| Last Updated ( Tuesday, 26 May 2009 ) |
| < Prev | Next > |
|---|