| KOLEJ TEKNOLOGI YPC-iTWEB TAMBAH JURUSAN MANTAPKAN KUALITI SISTEM PENDIDIKAN |
|
|
| Monday, 20 April 2009 | |
|
Kuala Lumpur, 19 April - Kolej Teknologi YPC-iTWEB telah mengadakan konvokesyen kali ke-5 yang berlangsung di Hotel Legend baru-baru ini dengan meraikan seramai 140 graduan di majlis yang penuh gilang gemilang. Majlis konvokesyen disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Y.B Dato’ Saifudin Abdullah dan turut dihadiri oleh Pengerusi Kolej YPC-iTWEB Y.B Senator Datuk Wira Syed Ali AlHabshee, Y.Bhg. Dato’ Seri Yahya A. Jalil, Ahli Lembaga Yayasan Pendidikan Cheras, Dr. Noel Robert, Ketua Pegawai Eksekutif Kolej Teknologi YPC-iTWEB, Y.Bhg Major (B) Van Weng Hong dari Pembangunan Sumber Manusia Berhad dan para ibu bapa. Pada majlis tersebut, Pengerusi Kolej YPC di dalam ucapan aluannya berkata Kolej Teknologi YPC mempunyai pelbagai jurusan yang mendapat pengiktirafan daripada MQA. Kolej YPC telah menambah program-program baru contohnya di dalam bulan Mac yang lalu, Kolej YPC telah menandatangani MOU dengan Liverpool John Moores University dengan menawarkan dua lagi program ijazah iaitu Bachelor Honours Information Technology and Multimedia dan Bachelor Honours Animation and Visualisation. Program-program ini akan dilaksanakan sebaik sahaja Kolej mendapat kelulusan daripada pihak MQA dan juga Kementerian Pengajian Tinggi. Beliau juga memaklumkan bahawa Kolej YPC akan memulakan pembinaan kampus baru di No. 30, Jalan Jejaka, Taman Maluri Cheras pada bulan Julai 2009. Kampus ini bakal mempunyai 5 tingkat dengan keluasan 120,000 kaki persegi dan boleh menampung seramai 3000 pelajar dan pelan pembinaan Kolej YPC telah dihantar ke Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. Sementara itu, Dato’ Saifudin di dalam ucaptamanya berkata penganugerahan diploma pada hari graduasi adalah simbolik kepada pencapaian seseorang di mana mereka adalah individu yang lebih berpengetahuan, berkeyakinan, bertoleransi, berdaya saing dan beretika. Oleh yang demikian, generasi muda haruslah sedar bahawa mereka merupakan pewaris dan harapan kepada kemajuan dan pembangunan negara serta bertanggungjawab dalam melahirkan masyarakat yang produktif, berintelektual dan beriltizam tinggi. Harapan beliau kepada graduan muda yang bakal memasuki dunia pekerjaan supaya bersedia untuk bekerja keras, penuh daya inisiatif dan sentiasa melihat peluang-peluang yang terbuka di depan mata untuk meneroka potensi diri. Pesanan beliau sebelum mengakhiri ucapan ialah rakyat yang baik haruslah tahu untuk menyumbang semula kepada masyarakat dengan menjadi rakyat yang bertanggungjawab, tahu membezakan perkara baik dan buruk dengan pertimbangan yang bijaksana. Selain itu mereka haruslah berkeyakinan untuk bersuara dan bertindak untuk kebaikan, bertoleransi menerima kepercayaan anggota masyarakat yang lain, serta paling penting mempamerkan tingkah laku yang baik dan mengambil berat tentang masyarakat yang kurang berupaya.
|
| < Prev | Next > |
|---|