Yayasan Pendidikan Cheras - 'Peneraju Masyarakat Berilmu, Berketrampilan dan Berdaya Saing'

You are here: Home
  • Decrease font size
  • Default font size
  • Increase font size
Perutusan Print E-mail
Wednesday, 07 July 2004
                     
YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad
Presiden UMNO merangkap Perdana Menteri Malaysia
(Sempena Majlis Pelancaran Yayasan Pendidikan Cheras 2001)

Sejak Merdeka hingga kini Kerajaan Barisan Nasional terus meletakkan kepentingan pendidikan sebagai satu agenda yang berterusan. Bilangan sekolah rendah dan menengah terus bertambah dari tahun ke tahun. Universiti dan Maktab bagi melatih bakal guru terus mendapat perhatian kerajaan. Kepentingan dan kebajikan guru-guru diperbaiki dari masa ke semasa. Malah setiap yang berkaitan dengan dunia pendidikan tidak pernah terabai dalam setiap rancangan kerajaan.

Namun, institusi sekolah, guru-guru dan pelajar tidak harus bergantung sepenuhnya kepada kerajaan hinggakan untuk mengisi tabung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) mengindahkan dan menceriakan sekolah juga menjadi tanggungjawab kerajaan. Pihak sekolah dan institusi masyarakat setempat harus berani mengambil tanggungjawab bersama untuk memasyarakatkan sekolah.

Hari ini apa yang dilakukan oleh Yayasan Pendidikan Cheras menjadi contoh bagaimana sebuah Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) yang diasaskan khusus untuk menjadi penyelaras dan perlaksanaan bersama dengan pihak sekolah.

Program Sekolah Angkat yang dianjurkan oleh Yayasan Pendidikan Cheras dengan memperkenalkan Anugerah Guru Bistari dan Pemberian Biasiswa Kecil kepada pelajar dari keluarga yang kurang mampu, telah sedikit sebanyak meringankan beban kerajaan dalam memartabatkan dunia pendidikan secara total.

Saya ucapkan tahniah dan syabas kepada Yayasan Pendidikan Cheras atas usaha murni ini demi memastikan institusi sekolah menjadi tempat untuk anak-anak kita belajar dan menuntut ilmu dan bukannya sebagai suatu tempat menanam kebencian kepada kerajaan.

YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad
Perdana Menteri Malaysia

YB Senator Tan Sri Dato' Musa Mohamad
Menteri Pendidikan Malaysia
(Sempena Majlis Pelancaran Yayasan Pendidikan Cheras 2001)

Sokongan semua pihak terutamanya masyarakat setempat dapat membantu dalam meningkatkan kecemerlangan pendidikan di sekolah. Sokongan masyarakat terutama dalam mewujudkan persekitaran untuk belajar akan menggerakkan guru, ibu bapa dan pemimpin setempat untuk saling bantu-membantu menjayakan pendidikan anak-anak kita.

Kesungguhan pemimpin masyarakat, ibu bapa dan guru-guru akan turut meresapi ke dalam diri anak-anak kita, sekaligus mencetuskan kesedaran betapa pentingnya pendidikan untuk kemajuan agama,bangsa dan negara. Justeru, tanggungjawab mendidik anak-anak kita bukan hanya terletak di kalangan guru-guru di sekolah semata-mata tetapi juga tanggungjawab masyarakat setempat. Inilah sebabnya, saya dapati kebanyakkan sekolah-sekolah cemerlang adalah terdiri dari sekolah yang mendapat sokongan masyarakat setempat.

Langkah Yayasan Pendidikan Cheras khususnya melalui Program Sekolah Angkat tentu sekali dapat menyumbang kepada kecemerlangan pendidikan. Saya difahamkan, Yayasan Pendidikan Cheras turut mewujudkan Anugerah Biasiswa Kecil kepada pelajar-pelajar dari keluarga yang kurang mampu di sekitar Parlimen Cheras dan Wilayah Persekutuan.

Akhir kata, syabas dan tahniah kepada Yayasan Pendidikan Cheras atas usaha bersungguh-sungguh untuk bersama-sama dengan sekolah dalam memajukan bidang pendidikan.

Selamat Maju Jaya

YB Senator Tan Sri Dato' Seri Musa Mohamad

YBM Senator Datuk Tengku Adnan Tengku Mansor
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Wilayah
Penaung Yayasan Pendidikan Cheras
(Sempena Majlis Pelancaran Yayasan Pendidikan Cheras 2001)

Sejak awal penubuhan UMNO sehinggalah perjuangan menuntut kemerdekaan dan seterusnya mengisi kemerdekaan, kekuatan UMNO dimainkan peranan oleh golongan guru terutama di kampung-kampung. Sebagai pendidik, guru-guru adalah golongan yang dihormati dan merupakan golongan yang berani tampil ke hadapan untuk menjadi agen kepada Kerajaan yang cukup berkesan bagi mengembangkan UMNO serta menyampaikan maklumat Kerajaan kepada rakyat.

Sejak akhir-akhir ini kekuatan itu agak longgar kesan daripada perubahan masa dan keadaan. Kaum guru seolah-olah telah menyepi daripada UMNO dan lebih tertumpu kepada kerjaya mereka di sekolah.

Saya ingin mengambil kesempatan di sini utnuk memuji UMNO Bahagian Cheras yang menyedari keadaan ini telah mengambil langkah untuk menubuhkan Yayasan Pendidikan Cheras bagi mendekati semula warga guru melalui Program Sekolah Angkat. Meskipun baru berusia setahun jagung, Yayasan Pendidikan Cheras sudah mempunyai 19 buah sekolah di bawah program Sekolah Angkat di sekitar parlimen Cheras dan Wilayah Persekutuan. Ia merupakan titik permulaan untuk menarik semula peranan guru selain daripada mendidik,menjadi gerakan untuk menyebarkan maklumat Kerajaan yang berkesan kepada masyarakat dan seterusnya melibatkan diri semula dalam gerakan siasah setempat.

Akhir kata syabas dan tahniah diucapkan kepada Yayasan Pendidikan Cheras dan saya berkeyakinan ianya sudah pasti akan mengembalikan semangat kaum guru untuk mendampingi UMNO.

Sekian, terima kasih.

YBM Senator Dato Tengku Adnan Tengku Mansor


YB Senator Datuk Wira Syed Ali Alhabshee
Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras
(Sempena Majlis Pelancaran Yayasan Pendidikan Cheras 2001)

Yayasan Pendidikan Cheras diwujudkan khusus untuk menjadi penyelaras dan perlaksana kepada program- program sekolah di bawah Skim Sekolah Angkat Parlimen Cheras dan Wilayah Persekutuan. Membantu aktiviti sekolah, membaikpulih kawasan fizikal sekolah, mengadakan program bersama untuk pelajar dan guru serta mewujudkan Anugerah Guru Bestari dan Skim Biasiswa Kecil untuk pelajar dari keluarga yang kurang mampu menjadi agenda Yayasan Pendidikan Cheras sehingga kini. Sejak ditubuhkan Yayasan Pendidikan Cheras telah memperuntukkan lebih kurang RM 350,000.00 tidak termasuk bantuan membaiki fizikal sekolah yang diusahakan oleh Yayasan.

Matlamat Yayasan juga termaktub dalam usaha untuk mendekati warga pendidik, ibu-bapa dan pelajar dalam usaha membina bersama sebuah warga negara yang tahu erti berterima kasih kepada kerajaan dan pemerintah.

Atas matlamat ini dua skim Yayasan iaitu Anugerah Guru Bestari dan Biasiswa kecil akan menjadi acara tahunan Yayasan serta sentiasa bersedia untuk membantu pihak sekolah bagi memartabatkan dunia pendidikan khasnya di Wilayah Persekutuan.

Saya bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang memberi kerjasama sehingga lahirnya Yayasan Pendidikan Cheras. Kita mendoakan semoga Yayasan ini akan terus bergiat aktif bagi membantu warga pendidik dan institusi sekolah untuk melahirkan satu persekitaran yang sihat, ceria dan selamat untuk anak-anak kita terus menimba ilmu.

Syed Ali Alhabshee
Last Updated ( Tuesday, 18 November 2008 )
 
< Prev   Next >

Login Form






Lost Password?
No account yet? Register

Events Calendar

« < September 2010 > »
S M T W T F S
29 30 31 1 2 3 4
5 6 7 8 9 10 11
12 13 14 15 16 17 18
19 20 21 22 23 24 25
26 27 28 29 30 1 2

Who's Online

We have 13 guests online

Tarikh Kemaskini

 September 7, 2010, 4:38 am